Enam tonggak Pertahanan Mutlak

Pemerintah Singapura telah mewajarkan Pertahanan Mutlak atas beberapa faktor, iaitu saiz wilayah yang kecil serta jumlah penduduknya yang tidak ramai; kekurangan sumber asli; dan penduduk yang pelbagai kaum dan agama.[26] Dinyatakan bahawa atas faktor-faktor inilah Singapura terdedah kepada pelbagai ancaman seperti terorisme antarabangsa, bencana alam, wabak dan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengakibatkan ekonomi menjadi lembap.[27]

Pertahanan ketenteraan

Perarakan upacara tamat Latihan Ketenteraan Asas Angkatan Bersenjata Singapura

Pertahanan ketenteraan melibatkan pelaburan besar dalam persenjataan, latihan dan kelengkapan untuk Angkatan Bersenjata Singapura (Singapore Armed Forces, SAF)[9][28] yang dibiayai oleh Pemerintah Singapura dengan belanjawan pertahanan yang merupakan antara yang tertinggi di rantau ASEAN.[29][30] Angkatan bersenjata yang serba mampu diambil berat sebagai keperluan untuk mencegah sebarang kemungkinan ancaman.[26] Selain perkhidmatan negara dua tahun, tanggungjawab juga terletak pada angkatan askar simpanan untuk menjaga kecergasan fizikal mereka melalui ujian kecekapan fizikal individu (IPPT) tahunan dan latihan dalam kem (ICT) tahunan.[31][32] Syarikat-syarikat korporat digalakkan untuk mewujudkan dasar-dasar "pro-NS" untuk askar simpanan seperti ruang latihan, insentif kewangan dan waktu kerja yang fleksibel, untuk yang mana mereka akan dihargai pada majlis anugerah tahunan.[33]

Pertahanan Awam

Armada kenderaan Pasukan Pertahanan Awam Singapura

Pertahanan awam secara amnya merujuk kepada aktiviti Pasukan Polis Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura yang bertujuan memulihkan ketenteraman semasa krisis negara dengan bantuan penyertaan awam yang aktif.[26] Orang awam menerima latihan pertolongan cemas, ikhtiar hidup dalam kota (urban survival), dan pengurusan sumber darah, air dan makanan.[26][34] Antara perbuatan lain yang dianggap menyumbang kepada pertahanan awam termasuk menderma darah ke tabung darah negara, kerja-kerja sukarelawan, dan menyertai barisan hadapan perubatan.[35][36]

Pertahanan ekonomi

Pertahanan ekonomi adalah berkenaan dengan usaha pemerintah untuk memelihara dan membangunkan ekonomi Singapura, malah pemerintah juga menjalankan dasar untuk meningkatkan kemahiran tenaga pekerja.[37][38] Pemerintah Singapura juga bertanggungjawab menyimpan stok bekalan makanan, ubat-ubatan dan kelengkapan perlindungan diri yang mustahak[39][35] di samping mempersiapkan rantaian bekalan sekunder sebagai persediaan berhadapan dengan gangguan.[40][41] Pemuliharaan sumber penting termasuk air diletakkan di bawah pertahanan ekonomi.[37][42]

Pertahanan sosial

Pertahanan sosial diadakan daripada dasar-dasar rasmi untuk memelihara perpaduan di kalangan penduduk Singapura yang beraneka ragam melalui kepelbagaian budaya.[43][44] Antara usaha-usaha yang disokong oleh negara termasuk pemimpin-pemimpin agama melibatkan diri dalam sesi antara agama melalui Organisasi Antara Agama (Inter-Religious Organisation); [45] usaha sedemikian diambil berat oleh Pemerintah Singapura demi membendung operasi menghasut oleh pelaku ganas bukan negara.[46] Meningkatkan hubungan antara jiran tetangga juga disenaraikan sebagai sebahagian daripada pertahanan sosial.[46][47]

Pertahanan psikologi

Pertahanan psikologi memaksudkan usaha-usaha Pemerintah Singapura untuk mengukuhkan "keazaman dan daya tahan" dalam kalangan rakyat untuk menghadapi krisis yang tidak dijangka, malah dianggap sebagai keperluan untuk memerangi berita palsu.[48] Pemerintah memandang daya tahan psikologi sebagai asas kepada "perjanjian sosial" dan menjadikan Finland sebagai contoh.[48] Usaha meningkatkan kesihatan mental di Singapura juga tergolong sebagai pertahanan psikologi.[49]

Pertahanan digital

Pertahanan digital bermaksud usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang ancaman keselamatan dalam talian, termasuk penyebaran maklumat kurang tepat, serangan siber dan penipuan memancing data.[18][50] Ancaman ini dilihat amat meruncing disebabkan sifat "terbuka dan berhubung" negara di samping rancangan pemerintah untuk menghalakan negara ke arah ekonomi digital dan konsep Smart Nation.[51] Semua penjawat awam diwajibkan menjalani latihan keselamatan siber, malah pemerintah juga mempertingkat kerja-kerja audit infrastruktur negara.[52]

Rujukan

WikiPedia: Pertahanan Mutlak https://govinsider.asia/digital-gov/cyberark-build... https://www.asiaone.com/singapore/big-winners-tota... https://www.asiaone.com/singapore/first-ever-redes... https://www.bangkokpost.com/opinion/opinion/171789... https://www.channelnewsasia.com/news/cybersecurity... https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/cor... https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/job... https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/sig... https://opengovasia.com/mr-iswaran-launches-digita... https://www.straitstimes.com/business/economy/no-a...